MAKANAN SEGERA LEBIH BAHAYA DARIPADA ROKOK

9 05 2007

Oleh Mohd Roji Abdullah

BATU PAHAT: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengandaikan makanan segera yang semakin popular di kalangan rakyat negara ini umpama bom jangka yang boleh meledak menjadi penyakit kronik apabila diambil sejak usia muda. Malah, Dr Chua menyifatkan makanan segera lebih berbahaya daripada rokok dan minuman keras kerana ada kes pengambilan makanan bermula sejak bayi lagi.

“Pengambilan makanan segera sejak usia bayi lagi menyebabkan sistem badan kita lemah dari awal lagi kerana kita sudah terdedah kepada kandungan gula, garam dan lemak yang melebihi paras minimum yang diperlukan badan kita.”

“Tidak keterlaluan jika kita letakkan tahap bahaya makanan segera sama taraf atau lebih tinggi lagi berbanding rokok atau minuman keras,” katanya kepada pemberita pada Majlis Tahun Baru Cina anjuran MCA Batu Pahat, di Dewan Jubli Intan, di sini, malam kelmarin.

Dr Chua berkata, pengambilan makanan segera sejak usia bayi dikenal pasti penyumbang utama peningkatan mendadak penyakit kronik seperti penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.

“Dua puluh tahun lalu, hanya enam peratus rakyat Malaysia menghidap penyakit itu (kencing manis), tetapi kini sudah meningkat kepada sembilan peratus dan jika amalan mengambil makanan segera berterusan, tidak mustahil jumlah pesakit akan meningkat 12 hingga 13 peratus pada 2020 nanti,” katanya.

Menteri Kesihatan itu berterima kasih sokongan pelbagai pihak, terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap cadangan kementerian melarang iklan makanan segera di media.

“Jika langkah tegas, termasuk melarang iklan makanan segera di media tidak diambil, kami khuatir bilangan rakyat Malaysia yang menghidap penyakit kronik terus meningkat ke tahap serius.”

“Saya akan berjumpa dengan NGO bagi berbincang dengan mereka untuk mencari pendekatan bagaimana mencapai hasrat kita mendidik rakyat Malaysia supaya tidak memakan makanan segera,” katanya sambil menambah, masalah itu diburukkan dengan keengganan rakyat Malaysia bersenam.








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.